Pesan Pak Nil - Iktibar Kisah Zizan

Assalammualaikum

Zizan Raja Lawak Pak Nil Aznil Haji Nawawi Johan Maharajalawak Mael Lambung
Ini sebenarnya adalah coretan Pak Nil atau Aznil Hj Nawawi yang aku petik daripada myMetro, dalam ruangan Borak PakNil..


Memang coretan ini sebenarnya adalah untuk artis di tanah air kita ini, tetapi pengisiannya sudah cukup untuk aku tujukan kepada  korang semua, yang mana kebanyakan korang suka tidur lewat kerana membuat kerja-kerja tertentu seperti tugasan, online, bisnes, facebook dan sebagainya..

Korang kena sedar, kesihatan juga perlu dijaga untuk memastikan korang terus komited dengan kerja-kerja yang korang lakukan...


Pesan Pak Nil - Iktibar Kisah Zizan


ASSALAMUALAIKUM. SuperSpontan sebuah rancangan fenomena baru yang
menemui rakyat Malaysia di Astro Warna sememangnya satu wadah baru buat
tontonan. Tahniah buat Afdlin Shauki yang sentiasa melahirkan idea segar,
sekali gus menaikkan martabat komedi tanah air.

Pak Nil terhibur dengan program yang dilihat mencabar bintang komedi
berfikir pantas dan menjadi genius di bidang itu. Kehadiran bintang
lawak dan selebriti membuatkan program ini ditunggu-tunggu setiap Jumaat
malam Sabtu. Keriuhan bertambah dengan penyertaan Johan dan Zizan Raja
Lawak.

Minggu lalu, ramai terkilan menyaksikan Zizan beraksi kerana dilaporkan
mengalami sakit Acute Myositis (fatigue) atau keradangan otot di seluruh
badan. Kepenatan berlebihan ini kerana tenaga kita memaksa badan terus
bergerak dan bekerja walaupun sebenarnya tidak mampu lagi.

Dalam dunia seni, kita sering ketepikan rasa penat apabila bekerja
kerana terlalu menyukai apa yang dilakukan sehingga jarang merungut
terlalu banyak kerja.

Lagi pun, di bidang ini pendapatannya tidak menentu. Tiba musim ‘ranum’,
banyaklah tawaran datang. Ketika itu, kita tidak mampu menolaknya kerana
mengenangkan ada juga rakan yang nasibnya tidak sebaik kita.

Ada yang langsung tidak ada ‘kerja’ dan tiada pendapatan untuk
meneruskan kehidupan. Mengenangkan nasib mereka, seharusnya yang
mempunyai rezeki tidak mempersiakan tawaran yang datang.

Dalam kes Zizan, semua tawaran kerja datang serentak. Berlakon, melawak,
mengacara, persembahan pentas, menyanyi dan menjadi duta produk.
Bayangkan bagaimana tubuh kecil itu menggalas tugas seberat itu.

Jika berat badan terlalu tinggi atau terlalu rendah, mungkin berasa
letih kerana ini. Seseorang yang kekurangan berat badan mungkin
mempunyai kekuatan otot yang kurang dan lebih mudah mengalami kepenatan.

Berdasarkan pengalaman Pak Nil, tidur ketika usia muda tidak penting.
Ada ketikanya, Paknil cuma tidur empat jam dalam masa 48 jam! Namun
adrenalin dan kecintaan pada pekerjaan dalam badan ini memacu diri untuk
terus aktif bergerak. Akhirnya, kepenatan boleh mengganggu cara kita
berfikir hingga menjejaskan kerja.

Satu kepercayaan ‘superficial’ jika ada yang mengatakan kepenatan boleh
dibaiki dengan minuman air untuk tenaga yang dijual. Air tenaga itu
bukan pengganti kepada tenaga yang hilang dan yang dicari. Ia cuma
bertindak sebagai melegakan.

Kepenatan fizikal bertambah teruk jika kita mengalami tekanan kerja dan
emosi. Bila otak gagal berfungsi dengan baik dan menghantar signal
bertentangan dengan keupayaan badan, kekejangan otot mula berlaku.

Pak Nil bukan doktor, tapi berdasarkan pengalaman usia dan pekerjaan,
ditambah dengan pembacaan, kesimpulan boleh dilakukan kerana akhirnya
badan kita yang menanggung. Apabila tekanan terlalu tinggi, biasanya ia
mencetuskan keletihan.

Yang diberitahu kepada Pak Nil, tekanan dan kebimbangan adalah dua emosi
paling kerap menyebabkan penambahan keletihan. Stres berlaku apabila
mereka tidak mempunyai kawalan ke atas situasi yang membuatkan mereka
berasa kecewa, cepat marah dan letih.

Kemurungan juga sebenarnya boleh membawa kepada keletihan. Akhirnya
kerja yang kita suka sebelum ini menyebabkan kita kepenatan dan
menghilangkan keghairahan berkarya.

Terutama dalam bidang lakonan, semua pekerja filem dan kru produksi di
negara ini Pak Nil lihat cuba memaksimumkan waktu penggambaran sehingga
ada yang bekerja hampir 24 jam.

Aturan tidur untuk semua yang terbabit, termasuk pelakon, menjadi tidak
menentu, menyebabkan otot badan gagal berfungsi dengan sepatutnya.

Belum cukup ia direhatkan, tulang empat kerat ini terpaksa digerakkan
semula untuk beraksi pada esoknya. Jadual waktu penggambaran yang sering
berubah menyebabkan pelakon sukar mengatur jadual rehat mereka. Mungkin
itu yang berlaku pada Zizan.

Namun, pengurusan juga harus banyak membantu kerjaya seseorang artis.
Paling utama, mengatur jadual kerja artisnya. Masa untuk seseorang artis
harus diatur supaya artis ada masa untuk tidur secukupnya dan berehat.

Sememangnya kalau ditanya artis, mereka sentiasa mahu terus menerima
tugas dan tawaran kerana itu cinta mereka. Namun sebagai pengurus dan
penasihat artis, mereka harus memberikan perhatian sama berat antara
mencari rezeki dan rehat.

Paling ditakuti jika artis yang terlalu penat tidak dapat memberikan
kesempurnaan pada pekerjaan sehingga kualiti persembahan tidak seperti
diharapkan.

Sikap kerja ‘asal boleh’ akan menjadikan nilai prestasi tidak memenuhi
cita rasa peminat seperti sebelum ini.

Peminat yang tidak tahu cerita kepenatan melampau si artis ini pasti
merasakan dia tidak sehebat sebelum ini. Apabila ini berlaku, daya tahan
artis menjadi lebih pendek dan apa dikecapinya hanya sementara.

Begitu juga wajah si artis yang dulunya kelihatan ceria dan ‘bercahaya’
kini mula tampak kusam dan kusut. Daya tarikan hilang secara tiba-tiba
dan tentunya bintang itu dilihat sebagai kurang bercahaya lagi.

Ramai pencinta seni merasakan tidur sebagai sesuatu yang mewah dan ini
menyebabkan tidur dianggap sebagai pilihan, bukan keutamaan. Ada yang
menganggap kurang tidur hanya masalah kecil kerana tidak mengetahui
risiko sebenarnya.

Tidur membenarkan jantung berdegup perlahan dan tekanan darah menurun
mengikut kadar sewajarnya untuk jantung manusia berfungsi. Rehat dan
tidur berkualiti boleh menjamin tuan punya badan dapat terus bergiat
aktif di bidang seni.

Pak Nil berpesan pada diri sendiri dan artis lain yang membaca ruangan
ini supaya tidak rakus mengejar duit sehingga mengabaikan kebajikan dan
badan sendiri.

Takut-takut nanti wang ribuan ringgit yang kita cari dan kumpul tidak
dapat kita nikmati, malah terpaksa dibelanjakan bagi menampung kos
rawatan kronik.

Ketika itu, sebukit wang yang kita kumpul juga mungkin tidak lagi
bererti buat kita kerana tidak dapat membeli kesihatan yang hilang.

Mari kita amalkan rajin bekerja dan pengurusan waktu lebih teratur.
Jangan sekali-kali kita benarkan kesibukan bekerja meragut hak badan
kita untuk berehat. Peminat masih berhak ke atas bakat kita dan pastinya
mereka berhak melihat persembahan lebih berkualiti dan segar.

Kelesuan dan kepenatan melampau senang dihidu peminat kerana ia sesuatu
yang boleh dilihat. Seri sudah tiada. Badan tidak bermaya. Bakat dibunuh
tanpa sengaja. Usaha jadi sia-sia. Wang bukan segala-galanya.

Wassalam.


Source : hmetro.com.my



BlogLeaderTalk
Apabila Orang Lama Kembali Semula Di Sini

Comments

~cik atin~ said…
kesehatan xmampu dibeli dengan wang. jage ksehatan kite :D
SyazwanJaudin said…
Tau xper .... aku setuju